REMAJA RISAU HAID TAK TERATUR (SAKIT PUAN)


Text ini diambil dri cetusan blog 
 http://sakit-tuan.blogspot.com/2013/01/haid-tidak-teratur-sakit-puan_11.html .

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM doktor,

SAYA berumur 16 tahun dan mempunyai masalah kitaran haid tidak teratur. Saya mula baligh pada umur 13 tahun dan hanya haid tiga kali saja. Kali terakhir saya datang haid adalah ketika berumur 14 tahun pada 23 Oktober 2010.

Saya tidak mengamalkan pemakanan yang tidak teratur dan berat badan saya ideal. Saya juga tidak mengalami darah tinggi atau obesiti. Saya ingin bertanya pendapat doktor mengenai masalah kitaran haid saya ini kerana risau ia akan menjejaskan kesihatan saya kelak.

Saya juga tidak berdepan masalah keputihan yang teruk dan tidak mengalami sakit senggugut. Saya pernah bertanyakan doktor lain dan mereka mengatakan kitaran haid saya masih belum matang. Saya perlukan kepastian daripada pihak doktor untuk menerangkan dengan lebih terperinci masalah saya ini. Terima kasih.

Izzati
Raub

Jawapan:

ASSALAMUALAIKUM Izzati, saya bersetuju dengan doktor Izzati yang mengatakan kitaran haid Izzati belum matang. Ini bahasa yang paling senang untuk kami jelaskan kepada pesakit remaja yang mempunyai masalah seperti Izzati.

Saya harap Izzati boleh faham dengan penjelasan saya nanti. Untuk memberikan lebih pemahaman, selepas membaca penjelasan ini, cuba semak buku sains Izzati dan fahamkan sistem reproduktif manusia.

Sistem reproduktif manusia yang meliputi kelenjar pituitari, ovari dan uterus. Bagi wanita, mereka hanya akan mempunyai kitaran haid yang normal sekiranya kelenjar pituitari dapat berfungsi secara normal.

Untuk kelenjar berfungsi dengan baik, ia perlu matang. Kematangan kelenjar pituitari adalah tidak sama bagi semua gadis ketika akil baligh. Ada yang cepat dan ada pula yang lambat bergantung terutama kepada berat dan ketinggian optimum.

Pituitari yang matang menghasilkan hormon dalam bentuk pulsa setiap minit untuk merangsang folikel-folikel dalam ovari. Tanpa folikel-folikel yang hidup, dinding rahim tidak dapat tumbuh dan haid tidak datang.

Apa terjadi pada Izzati ialah pituitari masih belum cukup 'dewasa' untuk merangsang folikel-folikel dalam ovari. Sebab itulah haid tidak berlaku setiap bulan tetapi hanya beberapa kali setahun. Bagi mereka yang baru akil baligh perkara seperti ini selalu berlaku dan ia adalah normal dan tidak perlu dirisaukan.

Oleh kerana haid yang tidak menentu ini adalah biasa bagi gadis seusia Izzati, maka doktor selalunya tidak akan membuat apa-apa untuk memulihkannya. Ini kerana masalah terletak pada kelenjar pituitari dan memang tidak ada ubat untuk mematangkannya secara lebih cepat. Ia mengambil masa beberapa bulan dan tahun sebelum haid berjalan lancar.

Sekiranya haid yang turun boleh memudaratkan seperti terlalu banyak, berketul-ketul dan berpanjangan sehingga menyebabkan anemia, kami akan menggunakan hormon seperti pil perancang bagi mengawal haid.

Pil hormon akan menjadikan haid berjalan secara teratur tetapi ia bersifat sementara saja. Ini bermakna apabila pil diberhentikan, haid akan menjadi tidak normal semula.

Jadi Izzati tidak perlu risau kerana ia tidak akan menjejaskan kesihatan dan ia akan pulih secara semula jadi. Apa yang lebih baik adalah untuk Izzati menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan tidak terlalu memikirkan soal haid yang belum matang ini.

(Sumber Berita Harian)

Dapatkan produk kesihatan untuk remaja dan ibu2 disini....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Join Us Now!